Monday, 30 April 2012

cara buat website free


Mula-mula, korang kena la daftar ngan Co.CC and 000webhost dulu. Lepas tu ikut je macam yang sye dah tulis kat bawah ni. Gambar pun ada sekali, so korang takkan lost punye la :-D

1. Masuk co.cc dan cari domain yang korang nak. sye try masukkan gila-gila.co.cc.


2. Aha! Free pun:-D. So, boleh la ana klik kat “Continue to registration” .

3. Okay, sekarang log in account co.cc korang. Haa…jangan lupe. Korang tak boleh ade lebih dari satu akaun tahu. Boleh kena banned tahu.

4. Sekarang, domain tu dah confirm jadi milik ana. Next, click kat “Set up” button sebab kita nak setup setting untuk domain ni.

5. Pilih “Name Server” pastu masukkan macam yang ana masukkan kat atas. Kita akan gunakan 000webhost, so kena la masukkan nameserver macam kat atas ni. Pastu, klik kat setup untuk save kan setting ni.

6. Next, log in korang  nye  akaun 000webhost.

7. Click kat “Create New” untuk masukkan domain yang korang dah daftar tadi.










http://www.hottoblog.info/2011/01/cara-buat-website-free-tutorial/cara buat website

Thursday, 15 March 2012

Karier Wanita Dalam Fiqih Al-Qaradhawi

Syeikh al-Qaradhawi menjawab: Allah Memberi Tanggung Jawab Kepada Manusia dengan Kerja (Amal). Wanita adalah manusia sebagaimana lelaki. Lelaki sebahagian daripada wanita dan wanita sebahagian daripada lelaki. Sebagaimana firman Allah SWT, ”Sebahagian kamu adalah keturunan daripada sebahagian yang lain.” (Ali Imran: 195). Allah menciptakan manusia untuk bekerja, bahkan Dia ingin tahu siapa yang membuat kerja (amal) secara terbaik. “Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat) ” (Surah al-Mulk, ayat 2). Keperluan Ummah dan Dunia Kepada Tenaga Wanita Wanita sebagaimana lelaki dibebani untuk bekerja (amal). Dan kerja yang dilakukan dengan terbaik akan memperolehi hasil terbaik. Firman Allah SWT, “Rab (Tuhan) mereka memperkenankan (permohonan) mereka. Allah berfirman):“Aku (Allah) tidak akan mempersiakan amalan orang yang beramal di kalangan kamu, baik lelaki mahupun perempuan; sebahagian kamu berasal daripada sebahagian yang lain.” Wanita sebagaimana yang dikatakan selalu adalah sebahagian daripada komuniti manusia. Tidak boleh dibayangkan bagaimana Islam kehilangan sebahagian dari komunitinya (jika semua wanita tidak berkerja), lalu dinyatakan sebagai agama yang jumud dan stagnan (‘down’, terhenti, membosankan), yang hanya mengambil dari kehidupan tetapi tidak memberi kepada kehidupan, hanya mengkomsumsi (menjadi pengguna) akan tetapi tidak berproduksi (menjadi pengeluar). Fiqh Prioriti: Mendidik Generasi Adalah Kerja Utama Wanita Pekerjaan wanita yang pertama dan utama adalah mendidik para generasi. Allah SWT telah menyiapkan jiwa dan fizikal wanita untuk melakukan tugas ini. Kerana itu, sebaik-baiknya kita hendaklah tidak menyibukkan wanita dengan kesibukan lain, sehingga memalingkan wanita dari tugas mulia ini. Tidak seorangpun mampu menggantikan kedudukan wanita dalam tugas mulia ini. Di tangannyalah bergantung kehidupan umat manusia. Moga rahmat Allah tercurah kepada al-Hafiz Ibrahim yang telah bersyair:Ibu adalah madrasah (sekolah), jika engkau mempersiapkannyaBeerti engkau telah mempersiapkan bangsa yang hebat dan kuat. Pekerjaan utama tersebut ialah tugasnya menguruskan rumah tangga, membantu suaminya, membentuk keluarga bahagia yang tegak di atas kedamaian, kasih sayang dan rahmat. Disebutkan dalam ssatu riwayat bahawa pekerjaan terbaik wanita adalah menyiapkan keperluan suaminya untuk pergi berjihad. Hukum Mengharuskan Wanita Keluar BerkerjaHuraian di atas tidak bermakna haram bagi wanita berkerja di luar rumah. Hukum haram hanya boleh ditetapkan dengan nas sahih dan jelas maknanya. Sebagaimana diketahui bahawa, setiap perkara adalah boleh hukumnya kecuali ada dalil yang mengharamkannya. Maka, pada dasarnya ‘boleh’ bagi wanita untuk berkarier. Dalam keadaan-keadaan tertentu, ia boleh menjadi dianjurkan, atau bahkan diwajibkan, jika memang terdesak dengan tuntutan hidup. Contohnya, janda atau wanita yang ditalak dan dia tidak mempunyai hasil pendapatan, sementara itu dia mempunyai kemahiran atau keahlian tertentu untuk digunakan. Dalam konteks ini, bekerja dengan kemahiran atau keahliaannya itu boleh menyelamatkannya daripada hidup meminta-minta. Contoh Wanita Berkerjaya Dalam Al-Quran dan Hadis Kadang kala, keluarga yang memerlukan tenaga wanita berkerja, seperti membantu pekerjaan suaminya, mendidik anaknya atau saudara perempuan yang masih kecil atau membantu orang tuanya sebagaimana yang diceritakan dalam Surah al-Qashash tentang dua anak gadis yang membantu orang tuanya yang sudah lanjut usia dalam menggembalakan kambingnya. Firman Allah SWT, “Dan tatkala ia sampai di sumber air negeri Mad-yan ia menjumpai di sana sekumpulan orang yang sedang meminumkan (ternaknya), dan ia menjumpai di belakang orang banyak itu, dua orang wanita yang sedang menghambat (ternaknya). Musa berkata: “Apakah maksudmu (dengan berbuat at begitu)?” kedua wanita itu menjawab: “Kami tidak dapat meminumkan (ternak kami), sebelum pengembala-pengembala itu memulangkan (ternaknya), sedang bapak kami adalah orang tua yang Telah lanjut umurnya”. Riwayat lain juga menyebutkan bahawa Asma’ binti Abu Bakar-pemilik dua ikat pinggang (Dzatil Nitaqain)- berkerja membantu suaminya Zubair bin al-Awwam dalam merawat kuda-kudanya, menggiling bijian lalu ditiriskan. Asma’ membawa gilingan bijian-bijian tersebut dari kebunnya yang jaraknya sangat jauh dari Kota Madinah. Ummul Mukminin, Zainab binti Jahsy mahir menyamak kulit, memintal serta menenun kain sutera, hasilnya dijual di pasar dan disedekahkan. Itulah kerjaya Zainab yang menguatkan sumber ekonominya hinggakan beliau mempunyai keistimewaan sebagai seseorang yang banyak bersedekah. Lalu, mendapat julukan ‘panjang tangan’ (bermaksud banyak bersedekah) oleh Rasulullah SAW. Keperluan Masyarakat Kepada Doktor Wanita, Jururawat, Guru Wanita dan Sebagainya Kadang-kadang juga masyarakat sendiri yang memerlukan tenaga wanita seperti doktor wanita, atau jururawat wanita atau guru wanita dan pekerjaan seumpamanya yang secara khusus lebih mahir dikerjakan oleh wanita. Paling ideal, wanita bekerja dengan kaum wanita, dan tidak dengan kaum lelaki, kecuali kerana keperluan mendesak yang mengharuskan wanita hadir dalam pekerjaan tersebut. Syarat-syarat dan Batasan-batasan Wanita dalam Berkarier1. Pekerjaan tersebut memang disyariatkan. Ertinya bukan pekerjaan haram atau membawa kepada perkara haram seperti: a.Teman sosial kepada lelaki b.Setiausaha kepada pengarah yang memerlukannya duduk seruangan dengannya (biasanya di pejabat-pejabat, S/U selalu berdua-duaan dengan pengarah. Saya kagumi cara Syarikat Telaga Biru Sdn Bhd yang melantik setiausaha bagi pengarah iaitu seorang wanita yang mempunyai pertalian darah). c. Penari d. Pelayan bar yang menyediakan minuman keras yang dilaknat oleh Rasulullah SAW, penuangnya, pembawa dan penjualnya e. Pramugari yang memerlukannya sentiasa tersenyum menyambut penumpang atau sering melakukan perjalanan jauh tanpa mahram, dan yang memerlukannya duduk sendirian di negara orang lain. f. Dan lain-lain pekerjaan yang diharamkan Islam bagi wanita apatah lagi pekerjaan yang diharamkan bagi lelaki dan wanita. 2. Menjaga adab wanita muslimah saat keluar rumah dengan menjaga cara berpakaian, berjalan, berbicara, bahkan bergerak. Allah SWT berfirman, “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup dada (juyub[1]) dengan tudung kepala mereka (khimar); 3. Pekerjaan itu tidak sampai melalaikan kewajipan utamanya, seperti kewajipan mengurus suami dan anak-anaknya. Sebab itulah pekerjaan dan kewajipan yang paling utama seorang wanita. Saranan Al-Qaradhawi Buat Pemerintah 1. Pemerintah hendaklah menyiapkan sesuatu berupa Undang-undang Tenaga Kerja dan saranan pekerjaan bagi para wanita ketika keperluan mendesaknya berkerja untuk dirinya, keluarganya atau masyarakatnya. Persiapan ini penting dilakukan agar harga diri wanita tidak tergadai atau tidak mengacau kewajiban rumah tangga. 2. Pemerintah hendaklah membuat peraturan yang memudahkan peranan serta memudahkan wanita ini, misalnya separuh kerja dengan separuh upah. Seperti kerja 3 hari dalam seminggu dan upah disesuaikan dengan hari kerjanya. Contoh lainnya adalah seperti adanya undang-undang cuti menikah, melahirkan atau peraturan khusus bagi ibu menyusu. (Alhamdulillah sebahagiannya telah dinikmati oleh wanita di Malaysia). 3. Pemerintah harus mempersiapkan sekolah agama, sekolah umum dan universiti khusus untuk kaum wanita, sehingga kaum wanita mempunyai peluang berolah raga dan melakukan aktiviti lain yang menyihatkan. 4. Menyediakan bahagian dan tempat khusus bagi wanita yang berkerja di pemerintahan, yayasan, atau bank sehingga menghindarkan terjadinya fitnah, serta fasiliti-fasiliti lain yang disesuaikan dengan keperluan[2]. Kesimpulan Penulis (Fatimah Syarha).Hormatilah wanita yang memilih untuk berada di rumah. Mereka bukannya ketinggalan zaman sebaliknya keluarga mereka lebih memerlukan mereka di situ. Hormatilah juga wanita yang memilih untuk berkerjaya. Mereka bukannya melakukan suatu dosa seolah-olah berkerjaya itu haram sebaliknya mereka melakukan sesuatu yang harus. Samada berada di rumah atau berkerjaya, masing-masing ada sebab dan keperluannya yang tersendiri. Masing-masing ada peranan yang besar buat diri, keluarga dan ummah. Asal saja tugas utama wanita iaitu mendidik generasi terus terpelihara. Asal juga suami redha dengan pilihannya. Berbincanglah. Wanita yang memilih untuk berada di rumah namun tidak berusaha memberi didikan kepada anak-anaknya, akan gagal mencapai matlamat mendidik generasi. Wanita yang memilih untuk berkerjaya namun tidak menyediakan pengurusan yang terbaik untuk rumah tangganya, akan gagal juga mencapai matlamat. Tips bagi wanita berkerjaya: 1. Jika perlu, ambillah pembantu rumah yang dididik dan dihargai dengan baik agar urusan teknikal rumah tangga tersusun rapi. Isteri-isteri Rasulullah SAW meskipun kebanyakan mereka tidak berkerja di luar rumah namun kebanyakkan mereka mempunyai pembantu. Masakan tidak, isteri baginda yang berada di rumah itu juga mempunyai kesibukan untuk menekuni ilmu. 2. Wanita yang berkerjaya dari rumah juga mungkin perlukan pembantu kerana kesibukan kerjaya itu dan kesibukan urusan rumah tangga. Jika mereka mampu melakukan kerja-kerja teknikal di rumah itu sendiri, tidak mengapa. Tapi realitinya, kerja-kerja teknikal di rumah tidak pernah habis, ditambah lagi dengan ragam anak-anak yang sentiasa inginkan perhatian. Terpulang pada kebijaksanaan masing-masing dalam memastikan adanya keseimbangan. 3. Pilih penjaga atau nursery yang terbaik untuk jagaan sementara bagi anak-anak dengan membuat pemantauan teliti terlebih dahulu. Maka, isteri boleh berkerjaya dengan lebih fokus dan professional dalam waktu kerjanya. 4. Lebih menarik jika wanita boleh memilih suatu pekerjaan yang mempunyai masa anjal dan lebih mesra famili. [1] Juyub sering diterjemahkan sebagai dada. Bagi penulis, ia adalah terjemahan yang baik mengikut konteks pakaian wanita di Malaysia yang ringan, lembut dan senang membentuk di badan, maka amat wajar tudungnya (khimar) melepasi dada agar tidak menggiurkan lelaki jahat dengan nampaknya bentuk buah dada. Mengikut bahasa Arab, dari segi bahasa, juyub adalah jamak daripada jaib yang sebenarnya bukan bererti dada. Erti sebenar juyub ialah bahagian terbuka daripada pakaian dan semisalnya pada bahagian dada. Atau lebih tepatnya bererti belahan leher baju. Maka, sama-samalah kita menghormati orang yang tetap ingin bertudung labuh, atau bertudung tiga segi tetapi bajunya longgar atau bertudung singkat dengan bajunya longgar. Masing-masing mempunyai sebab dan fatwa hati yang tersendiri. Hormatilah! Asalkan pakaiannya menutup aurat dan lebih baik lagi dipakai dengan rasa taqwa, bukan sebab-sebab lain.[2] Al-Qaradhawi, Fatawa Mua’shirah, juz. 2. Hal. 303-306. - Artikel iluvislam.com

Wednesday, 11 May 2011

CARA KURUS TANPA UBAT

JANGAN BERLAPAR/ BIARKAN PERUT KOSONG

Makanan adalah sumber tenaga. Apabila kita menggunakan tenaga lebih dari bekalan tenaga dari makanan yang kita ambil, tubuh akan terkejut. Tubuh akan mula membakar 'muscle'(otot) untuk menggantikan makanan. Ini menyebabkan kadar metabolisma tubuh menjadi rendah. Bila anda terlalu lapar, pada kebiasaannya anda akan mengambil makanan dengan lebih banyak. Pada masa ini, walaupun tahap pengambilan makanan anda telah kembali ke paras normal namun kadar metabolisma tubuh masih lagi rendah. Ini menyebabkan kalori tidak terbakar pada tahap yang sama lagi.


AMBIL SESUATU YANG PAHIT SEBELUM MAKAN

Minum kopi dan kumur beberapa saat sebelum makan. Cara ini menyebabkan tekak merasa pahit dan menghantar isyarat melalui otak bagi menggalakkan rembesan enzim dan asid HCL. Kekurangan enzim dan asid HCL di dalam perut boleh menyebabkan ketidaklancaran penghadaman.


MINUM 8 GELAS AIR KOSONG SEHARI

Air kosong mengurangkan selera makan anda secara semulajadi dan dapat membantu proses metabolisma bagi menyingkir simpanan lemak di dalam tubuh. Sebelum makan makanan yang berat, cubalah minum air kosong, pasti anda tidak akan makan dengan banyak.



ELAKMINUM MINUMAN BERKARBONAT

Minuman berkarbonat biasanya mengandungi 7-8 sudu gula dalam satu sajian dan tidak baik untuk kesihatan tubuh.



KURANGKAN PENGAMBILAN GARAM

Pengambilan garam yang tinggi menggalakkan penangkungan air. Mengurangkan pengambilan garam bermakna badan anda menangkung sedikit air. Ini bermakna anda kurang berat yang disebabkan air.


AMBIL SARAPAN PAGI

Anda juga boleh menurunkan berat badan dengan pengambilan sarapan pagi. Menurut satu kajian, mereka yang tidak mengambil sarapan pagi lebih cenderung untuk gemuk berbanding dengan mereka yang mengambilnya. Bagaimana ia terjadi? Sarapan pagi menstabilkan hormone dan paras gula di dalam darah. Kadar metabolsima juga meningkat untuk membakar kalori.


MAKAN PERLAHAN-LAHAN

Nikmatilah makanan dengan perlahan-lahan dan jangan gopoh. Kerana apabila kita makan secara perlahan-lahan, tubuh akan menghantar isyarat menunjukan kepuasan.



KUNYAH MAKANAN KEPADA CEBISAN LEBIH KECIL

Kunyahlah makanan kepada cebisan lebih kecil sebelum menelan kerana dengan cara ini ia lebih mudah dihadam.



MAKAN DENGAN KERAP

Biar makan kerap dengan kuantiti yang sedikit daripada makan hanya sekali, dua tetapi dengan kuantiti yang banyak.


CUCI MULUT

Jika anda terasa ingin makan snek atau makanan ringan, beruslah gigi anda atau kunyahlah gula- gula getah. Rasa mint atau berangin di mulut akan membantutkan selera anda.



PILIH MAKANAN BEREMPAH

Sesetengah rempah seperti cili, biji sawi, didapati boleh membakar kalori. Penambahan lada hitam bukan sahaja meningkatkan penghadaman, ia juga meningkatkan pembakaran lemak.



PILIH MAKANAN BERBIJIRIN/ BERKACANG

Pilih Lebih Banyak Bijirin dan Kekacang Dalam Makanan Bijirin penuh adalah sumber utama tenaga. Bijiran dan hasil bijirin banyak mengandungi karbohidrat kompleks, protein, vitamin, mineral dan sedikit lemak.








Tuesday, 10 May 2011

CARA HILANGKAN JERAWAT

Petua 1 : Ambil sedikit asam jawa dan beberapa inci kunyit hidup . Tumbuk kunyit itu dan campurkan dengan asam jawa dan sedikit air . Setelah campuran itu sebati, sapu ratakan ke seluruh muka anda . Biarkan kira-kira 20 minit . Kemudian ketika anda mandi , basuhlah dengan bersih . Jika selalu diamalkan , muka anda akan sukar ditumbuhi jerawat dan kulit menjadi lebih halus .

Petua 2 : Campurkan air limau nipis dengan satu sudu minyak masak . Sebelum tidur , sapukan campuran tadi ke seluruh muka anda. Sekiranya anda merasa pedih , itu hanya sementara . Esoknya , ambil beberapa keping asam gelugur (asam keping) dan rendam dalam air panas . Setelah sejuk atau suam , basuhlah muka anda dengan air itu . Ambil asam dan gosokkan ke seluruh muka anda . Kuatkan gosokan anda pada tempat -tempat yang berparut. Bairkan beberapa minit , kemudian basuh dengan air biasa. InsyaAllah , muka anda akan menjadi licin dan bersih.

Petua 3 : Campur bedak sejuk dengan garam dan air asam jawa. Selawat pada Nabi 3 kali. Sapukan di muka dan di tempat jerawat. InsyaAllah, jerawat akan beransur hilang.

Petua 4 : Hilangkan jerawat dengan sebungkus daun teh (masih hijau). Didihkan kemudian lekatkan ke jerawat.

Petua 5 : Bersihkan muka. Kemudian cuci dengan air kelapa tua. Biarkan ia kering sendiri. Bilas dengan air bersih. Amalkan 3 kali seminggu.

Petua 6 : Sejukkan sedikit kanji nasi. Sapukan pada jerawat dan biarkan ia kering di muka. Cuci dengan air suam. Amalkan setiap hari sehingga jerawat berkurangan.

Petua 7 : Basuh muka dengan air basuhan beras. Setelah kering cuci dengan air bersih. Amalkan selalu.

Petua 8 : Campurkan putih telur (ayam lampung) bersama satu sudu tepung jagung dan minyak zaitun. Gaul rata dan kemudian sapukan ke seluruh muka. Biarkan sehingga kering dan kemudian bilas dengan air suam. Ia elok untuk kulit bermasalah dan boleh membantu mengatasi jerawat. Amalkan 2 kali seminggu.

Petua 9 : Sapukan sedikit larutan tepung kanji bercampur air di sekeliling jerawat yang timbul. InsyaAllah ia akan membantutkan pertumbuhan jerawat tanpa sebarang parut.

Oleh azdriana9

Perbezaan antara 1Malaysia dan ‘One Israel’



Ketika Gagasan 1Malaysia mula diperkenalkan, pembangkang cuba mengaitkannya dengan  konsep ‘Malaysian Malaysia’. Apabila kerajaan dapat menjawab dan membuktikan bahawa keduanya adalah berbeza, maka hari ini pembangkang cuba pula menyamakan 1Malaysia dengan One Israel.

1Malaysia dituduhnya meniru konsep One Israel yang diperkenalkan oleh Ehud Barak, Perdana Menteri Israel pada awal tahun 1990-an. Benarkah 1Malaysia sama dengan One Israel? One Israel mesti dilihat dalam skop perjuangan Zionis yang berpusat kepada fahaman rasisme melampau, manakala 1Malaysia pula mesti dilihat dalam skop penyatuan rakyat Malaysia pelbagai kaum berasaskan kepada konsep penerimaan dan semangat toleransi.
One Israel sepenuhnya dikaitkan atau dikhususkan kepada bangsa Yahudi. 1Malaysia adalah untuk semua kaum supaya hidup secara harmoni, toleransi dan bekerja sama tanpa sebarang perasaan prejudis antara satu sama lain. One Israel adalah usaha kaum Yahudi Zionis untuk memperkukuh negara haram Israel di bumi Palestine supaya semua kaum Yahudi menyokong perjuangan rasis Zionisme.
 1Malaysia pula adalah untuk memperkukuh negara-bangsa Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum agar setiap warga Malaysia melihat dirinya sebagai rakyat Malaysia yang sama-sama menyumbang kepada kekuatan dan kejayaan negara.
One Israel memiliki dogmatisme dan mitos tertentu, manakala 1Malaysia tidak diasaskan kepada sebarang dogma atau mitos tertentu. Mitos dan dogma utama bangsa Yahudi (Hebrew) ialah menganggap bangsa mereka sebagai ‘Bangsa Pilihan Tuhan’ (The Chosen People of God). Kaum Yahudi telah menjadikan faktor ‘darah keturunan’ sebagai faktor penentu kaum Tuhan memilih mereka sebagai People of God.  Kaum Yahudi percaya bahawa pemilihan mereka sebagai Bangsa Pilihan adalah didasarkan kepada kasih sayang Tuhan Yahweh terhadap mereka.
Keistimewaan ini tidak dikurniakan kepada bangsa-bangsa yang lain. Keyakinan mereka ini kekal hingga  hari ini dengan berpegang teguh kepada gambaran yang diberi oleh Old Testament yang menyebut mereka sebagai bangsa yang disucikan, disayangi dan dicintai Tuhan serta Tuhan telah menebus mereka daripada perhambaan Firaun Raja Mesir (Deuteronomy V11:6-8).
 Bangsa Yahudi mempercayai bahawa tragedi-tragedi sejarah yang dilalui mereka sehingga menyebabkan mereka berada dalam pembuangan (exile) hampir 2000 tahun di mana mereka terpisah dari bumi Palestine adalah berpunca daripada kecuaian mereka mentaati tuhan Yahweh. Mereka mempercayai bahawa tempat yang bernama Zion, sebuah bukit yang terletak di selatan Bait al-Muqaddas yang pernah menjadi tapak kerajaan Nabi Daud  adalah tempat yang telah dijanjikan untuk mereka. Zion dianggap tempat suci orang Yahudi di mana Tuhan Yahweh tinggal di situ.
 Perkataan Zionisme di ambil dari sempena nama bukit tersebut. Pergerakan Zionisme berusaha a untuk menegakkan kembali keunggulan sejarah bangsa Yahudi dengan kembali berkuasa di bumi Palestine, malah mereka berhasrat untuk menguasai dunia ini dengan apa sekali pun. Cita-cita mereka ialah mahu mengembalikan keagungan Bani Israel dan keagungan bangsa Yahudi. Mereka mahu membina Haikal Sulaiman dengan memusnahkan Masjid al-Aqsa di Jurusalem.
 Sebelum wujudnya pergerakan Zionisme secara rasmi, telah lahir pelbagai pergerakan Yahudi yang berjuang untuk kembali ke bumi Palestine seperti pergerakan Maccabean, pergerakan Barkokhba (117-136 M), pergerakan Maosis al-Kariti, pergerakan Dapid Robin (1501-1532M), pergerakan  Mansyah bin Israel (1604-1657M), pegerakan Syabtai Lapei (1626-1676M).
 Mulanya ia merupakan pergerakan agama tetapi bertukar kepada gerakan politik nasional Yahudi. Pada tahun 1897 pertubuhan Zionis Sedunia  (The World Zionist Organization) ditubuhkan sebagai gerakan politik yang terkuat dan berpengaruh. Di Eropah, orang-orang Yahudi telah berjaya menguasai ekonomi Britain, Jerman, Peranchis dan Amerika Syarikat (AS).
 Politik Zionisme menjadi lebih kuat dan berkesan di bawah pimpinan Theodor Herzl, seorang wartawan Yahudi dari Austria yang bersifat radikal. Maxim Ghilan menyebut dalam bukunya How Israel Lost Its Soul (1974) bahawa sejarah Zionis merupakan satu pergerakan autokrat yang bercorak revolusioner. Ia juga adalah pergerakan  yang pertama memberi hak undang-undang kepada orang Yahudi serta hak undang-undang sebagai satu bangsa manusia di Eropah.
Melalui bukunya, The Jewish State (Der Judenstaat), Theodor Herzl telah berjaya membakar semangat orang Yahudi di seluruh dunia untuk berpindah atau kembali ke Palestine dengan tujuan mewujudkan semula beberapa penempatan orang Yahudi. Akhirnya satu kongres pertama orang Yahudi diadakan di Basle, Switzerland pada tahun 1897 yang memutuskan Pertubuhan Zionis Sedunia akan berusaha mengembalikan kegemilangan Yahudi di bumi Palestine melalui penubuhan sebuah negara Israel.
 Negara Zionis Israel akhirnya diwujudkan dengan sokongan dan dukungan kuat Britain dan AS pada tahun 1948. Apa yang berlaku ialah pembentukan negara haram Israel adalah dilakukan di atas penghapusan etnik ke atas bangsa Arab Palestine dan misi penghapusan dan penyingkiran rakyat Palestine dari tanah air mereka masih berterusan sehingga kini. Justeru, One Israel yang diperkenalkan oleh Ehud Barak mempunyai pertalian yang rapat dengan usaha rejim Zionis untuk memperkukuh kesatuan Yahudi bagi mendukung negara haram Israel itu.
 Yang nyata, One Israel adalah gagasan untuk memantapkan kesatuan kaum Yahudi semata-mata dengan tidak memberi ruang keadilan kepada rakyat Palestine yang dizalimi dan ditindas itu. Ia berbeza dengan gagasan 1Malaysia yang bersifat penerimaan inklusif di mana keadilan sosial ditegakkan untuk semua kaum, agama dan kepercayaan berasaskan kepada Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara, Wawasan 2020 dan Misi Nasional.
 1Malaysia dibangunkan di atas konsep perpaduan dalam kepelbagaian di mana keadilan sosial, nilai-nilai murni dan nilai-nilai aspirasi 1Malaysia merangkumi budaya berprestasi tinggi, ketabahan, hormat-menghormati, budaya ilmu, integriti, kebijaksanaan, rendah hati dan kesetiaan ditekankan untuk dijadikan amalan seluruh rakyat Malaysia. 1Malaysia yang mendukung prinsip Rakyat Didahulukan, Pencapaian diutamakan dilaksanakan dalam struktur ekonomi, politik dan sosial masyarakat yang melibatkan aspek keterangkuman, iaitu penglibatan seluruh rakyat Malaysia tanpa batasan kaum.
 Kesimpulan, antara Gagasan 1 Malaysia dan One Israel mempunyai perbezaan yang cukup nyata. Gagasan 1Malaysia tidak memiliki elemen rasisme atau ideologi perkauman, manakala One Israel adalah jelas bersifat rasis, egoistik, cauvinistik, partikularistik dan diskriminasi.One Israel bersifat eksklusif yang dikhususkan untuk kaum Yahudi dengan menafikan hak rakyat Palestine, manakala 1Malaysia adalah bersifat inklusif. Ia adalah gagasan yang berusaha untuk memperkukuhkan perpaduan pelbagai kaum di negara ini di mana hak semua kaum dibela berasaskan Perlembagaan Persekutuan. - Oleh Mohd Ayop Abd Razid